ENGLAND – Chelsea cemas menjelang Krismas apabila penjaga gol utamanya, Petr Cech cedera pinggul ketika bertemu Blackburn dalam saingan bola sepak Liga Perdana England, semalam.
Cech tidak berjaya meneruskan aksi pada separuh masa kedua selepas bertembung dengan penyerang Blackburn, Roque Santa Cruz.
Kecederaan itu dikhuatiri menimbulkan masalah besar kepada The Blues, selepas penjaga gol kedua pasukan itu, Carlo Cudicini juga menghadapi kecederaan tulang rusuk pada pertemuan dengan Aston Villa, Rabu lalu.
Pengurus Chelsea, Avram Grant berkata, situasi Cech akan hanya diketahui setelah pemain itu menjalani pemeriksaan imbasan.
‘‘Kami perlu menanti untuk mengetahui sejauh mana kecederaannya,’’ katanya.
Menurut Grant, adalah sukar untuk Hilario menggantikan tempat Petr, tetapi penjaga gol ketiga itu melaksanakan dengan baik pada perlawanan dengan Blackburn, kelmarin.
‘‘Kecederaan Cudicini akan mengambil masa beberapa hari, jadi saya tidak ada pilihan penjaga gol lain untuk bertemu dengan Aston Villa,’’ katanya.
Dengan kejayaan Manchester United dan Arsenal pada perlawanan awal minggu lalu, Chelsea tiada pilihan selain mencari kemenangan bagi merapatkan jurang kepada dua pasukan tersebut.
Jaringan tunggal Joe Cole pada perlawanan dengan Blackburn menjadikan perbezaan enam mata di belakang pendahulu liga, Arsenal.
Namun begitu, Grant masih yakin jarak tersebut dapat diatasi.
‘‘Saya begitu gembira dengan kejayaan tersebut kerana ia bukanlah tempat yang mudah untuk bermain, terutamanya selepas seri dengan Blackburn di tempat sendiri.
‘‘Kami menunjukkan semangat berlawan, melakukan dua atau tiga peluang dan Hilario mempamerkan aksi menyelamat yang baik,’’ katanya.
sumber: Utusan Malaysia(25/12/07)
0 Comments:
Post a Comment