LONDON - Avram Grant sanggup ‘bermain kasar’ termasuk menghempas kerusi bagi memastikan pemain Chelsea tidak alpa dalam memburu gelaran Liga Perdana England musim ini.
Pengurus The Blues itu menegaskan, beliau tidak teragak-agak untuk menghempas peralatan dalam bilik persalinan jika tindakan itu mampu menyedarkan para pemainnya daripada ‘tidur’.
Pengurus Manchester United, Alex Ferguson pula terkenal dengan cara tersendiri ketika ‘membasuh’ anak-anak buahnya termasuklah mengeluarkan kata-kata kesat sekiranya persembahan mereka tidak memuaskan.
‘‘Sekiranya cara itu boleh membantu (untuk menang) saya sanggup menghempas sebuah kerusi. Saya berpendapat, sekali-sekala cara itu mungkin diperlukan,’’ kata Grant selepas menyaksikan pasukannya bangkit daripada ketinggalan menewaskan Fulham 2-1, kelmarin.
Michael Ballack memberitahu, suasana bilik persalinan agak ‘tegang’ ketika perlawanan berhenti rehat pada babak pertama dan ketika itu Chelsea ketinggalan 0-1 kepada tuan rumah.
Danny Murphy menjadi hero tuan rumah apabila meletakkan Fulham di depan menerusi sepakan penalti seawal minit ke-10.
Joe Cole dipersalahkan kerana menjatuhkan Moritz Volz sekalipun insiden itu dilihat tidak memerlukan pengadil menghadiahkan penalti.
Penyerang Ivory Coast, Salomon Kalou kemudian bertindak baik dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-54 sebelum tonggak Jerman, Ballack mengesahkan kemenangan Chelsea menerusi penalti minit 62.
‘‘Saya tidak beranggapan diri saya terlalu agresif,’’ kata Grant yang boleh dikatakan jauh bertimbang rasa jika dibandingkan dengan bekas pengurus sebelum ini, Jose Mourinho.
Ketika ditanya apa yang dilakukannya semasa rehat babak pertama, Grant enggan mengulas lanjut sebaliknya melemparkan senyuman.
‘‘Lazimnya tugas seorang pengurus ialah membetulkan keadaan. Tempoh rehat babak pertama singkat, oleh sebab itu saya gunakan ia sepenuhnya.
‘‘Jika pemain gementar, saya akan cuba menenangkan mereka, jika pemain-pemain ‘bermimpi’ saya akan mengejutkan mereka,’’ ujar Grant.
Kemenangan kelmarin mengekalkan Chelsea di tangga ketiga dalam Liga Perdana, enam mata di belakang pendahulu, Arsenal dan ketinggalan empat mata belakang United.
‘‘Bola sepak sekarang semakin taktikal yang memerlukan juga kekuatan fizikal. Anda perlu tahu semua mengenai taktik. Pada masa yang sama anda juga memerlukan pemain yang bijak seperti Michael Ballack.
‘‘Saya suka kepada pemain yang bijak kerana mereka akan menghasilkan permainan yang baik,’’ kata Grant ketika mengulas penampilan semula Ballack selepas pulih daripada kecederaan.
0 Comments:
Post a Comment