
WIGAN – Claude Makelele bersedia untuk memainkan peranannya selaku perancang utama Chelsea apabila The Blues turun menentang Wigan Athletic pada perlawanan pusingan keempat Piala FA hari ini.
Chelsea akan berkunjung ke Stadium JJB dengan keyakinan selepas menempah tiket ke perlawanan akhir Piala Liga hasil kemenangan ke atas Everton Rabu lalu.
Begitupun, mereka akan turun tanpa Michael Essien, Didier Drogba, Salomon Kalou dan John Obi Mikel yang menyertai kempen Piala Negara-Negara Afrika manakala kapten, John Terry, Frank Lampard, Michael Ballack dan Andriy Shevchenko masih dihimpit kecederaan.
Pemain baru, Branislav Ivanovic dijangka membuat penampilan sulungnya, namun pemain yang lebih menjadi tumpuan pastinya Makelele.
Peranannya di bahagian tengah amat penting setelah ketiadaan ramai tonggak utama Chelsea dan pemain Perancis itu selesa dengan kepercayaan yang diberikan pengurusnya Avram Grant.
“Saya sentiasa berhati-hati dan terus menjalinkan hubungan yang baik dengan pengurus. Malah dia lebih mengenali saya,” kata Makelele.
“Dia tahu saya tidak perlu bermain sepanjang masa dan dia juga mempunyai pemain muda yang bagus seperti John Obi Mikel serta Michael Essien yang perlu lebih banyak bermain.
“Namun, pengurus sedar saya sanggup melakukannya di mana pengalaman saya amat diperlukan. Bila saya beraksi, saya hanya fikirkan mengenai pasukan, bukan diri saya.”
Chelsea setakat ini hanya melepaskan satu gol dalam empat perlawanan terakhir yang dimenangi mereka dan mahu meneruskan rekod cemerlang mereka itu ke atas wigan hari ini. – AFP
0 Comments:
Post a Comment