WIGAN, England - Jaringan berkualiti daripada bintang baru Chelsea, Deco membawa pasukan itu menundukkan Wigan 1-0 di Stadium JJB untuk menerajui takhta bola sepak Liga Perdana England, semalam.
Bintang Portugal kelahiran Brazil itu mengambil sepakan percuma tidak jauh dari kotak penalti, yang gagal diselamatkan penjaga gol, Mike Pollitt.
Jaringan tunggal Deco itu cukup untuk memastikan kemenangan Chelsea, yang diasak hebat oleh Wigan sepanjang perlawanan hingga memaksa penjaga gol mereka, Petr Cech berhempas pulas menyelamatkan beberapa percubaan.
Kemenangan itu juga membolehkan Chelsea berkongsi enam mata bersama Liverpool, yang menundukkan Middlesbrough 2-1, kelmarin.
Penyandang juara, Manchester United, yang kini ketinggalan lima mata di belakang dua pasukan teratas mampu merapatkan jurang jika berjaya menewaskan Portsmouth di tempat lawan , hari ini.
Turut kelihatan menyaksikan perlawanan mendebarkan di Stadium JJB itu adalah pengurus England, Fabio Capello, yang hadir untuk menonton aksi kapten England, John Terry dan pemain tengah, Frank Lampard.
Namun, kedua-dua pemain gagal menyerlah, malah Terry dilayangkan kad kuning kerana mengkasari Emile Heskey.
Meskipun berjaya mengutip tiga mata penuh, namun aksi yang dipertontonkan oleh anak buah Luiz Felipe Scolari semalam kurang menyengat berbanding ketika membenam Portsmouth 4-0 dalam saingan sulung liga, minggu lalu.
Wigan sebaliknya lebih menguasai perlawanan, biarpun beraksi tanpa tonggak pertahanan Austria, Paul Scharner dan penjaga gol utama, Chris Kirkland kerana kecederaan.
Pollitt, 36, yang membuat penampilan sulung Liga Perdana sejak melepaskan dua gol ketika tewas kepada Arsenal, sembilan bulan lalu gagal menepis rembatan cantik Deco seawal minit keempat.
Jaringan itu menaikkan semangat pemain tuan rumah untuk mencari gol penyamaan, hanya dua minit kemudian, Cech diuji dengan rembatan kaki kiri Wilson Palacios tetapi berjaya menepis bola.
Wigan terus meningkatkan kelajuan permainan, pada minit kelapan, Amr Zaki, penyerang baru dari Mesir melepaskan rembatan yang terkena badan Cech.
Zaki beroleh satu lagi peluang beberapa minit kemudian, namun ketangkasan Cech sekali lagi menafikan percubaan tuan rumah.
Meskipun menggandakan asakan pada babak kedua, namun semua percubaan Wigan berjaya dipatahkan benteng pertahanan Chelsea, yang mantap diketuai Cech. - AFP
0 Comments:
Post a Comment