LONDON – Chelsea dan Liverpool meneruskan saingan sengit di puncak Liga Perdana England selepas masing-masing mencatat kemenangan bergaya di tempat lawan, kelmarin.
Liverpool berjaya berada di puncak liga buat seketika selepas mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Bolton Wanderers melalui jaringan Dirk Kuyt dan Steven Gerrard sebelum Chelsea kembali memintas dengan menewaskan West Bromwich Albion 3-0 di Hawthorns.
Rembatan lencong kaki kiri Jose Bosingwa dan dua gol daripada Nicolas Anelka memberikan mata penuh buat Chelsea yang mencatatkan rekod baru liga dengan mencatatkan 10 kemenangan di tempat lawan.
The Blues kembali memintas Liverpool melalui perbezaan jaringan dengan kedua-dua pasukan mengumpul 32 mata dari 13 perlawanan.
Sementara itu, harapan Arsenal untuk memenangi kejuaraan liga terganggu selepas tewas 0-2 di tempat sendiri kepada Aston Villa - jaringan sendiri Gael Clichy dan rembatan Gabriel Agbonlahor mengecewakan Gunners dengan kekalahan keempat musim ini.
Manchester United pula memintas kedudukan Arsenal untuk berada di tangga ketiga mengutip 24 mata selepas membelasah Stoke City 5-0 di Old Trafford dengan Cristiano Ronaldo menyumbat dua gol untuk pasukan penyandang juara itu yang masih mempunyai baki satu perlawanan.
Sunderland melonjak dari tangga ke-19 ke tangga ke-11 selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Blackburn Rovers yang menyertai kelompok tiga pasukan terbawah.
Tottenham Hotspur kembali ke zon penyingkiran selepas tewas 2-1 di Fulham, kekalahan pertama mereka di bawah jurulatih baru, Harry Redknapp.
Wigan Athletic yang bermain 10 pemain seri 2-2 di Newcastle United sementara Portsmouth seri 0-0 di West Ham United.
Chelsea yang terkeluar dalam saingan Piala Liga Rabu lalu, terlalu kuat buat West Brom. Bosingwa memecah kebuntuan selepas 34 minit beraksi melalui rembatan cantik dan Anelka mempamerkan sentuhan hebat dengan sepakan sungkit menewaskan Scott Carson untuk gol kedua.
Harapan West Brom untuk kembali bersaing dinafikan pada separuh masa pertama apabila Anelka menjaringkan gol kedua melalui rembatan jarak dekat.
0 Comments:
Post a Comment