LONDON – Chelsea akan mengemukakan rayuan terhadap tindakan pengadil melayangkan kad merah kepada pemain pertahanannya, Ashley Cole pada minit-minit terakhir ketika pasukannya seri 4-4 dengan Aston Villa, Rabu lalu.
Gara-gara kad merah itu, Cole dibuang padang kerana dikatakan menggunakan tangannya untuk menghalang bola tandukan Gabriel Agbonlahor.
Sepakan penalti itu disempurnakan oleh Gareth Barry untuk mencatat keputusan seri, sekali gus menyekat hajat Chelsea bagi meraih tiga mata.
‘‘Saya telah menyaksikan semula adegan itu dalam televisyen dan saya pasti sepakan penalti dan kad merah tidak patut diberikan,’’ tegas jurulatih Chelsea, Avram Grant.
Nasib Chelsea ibarat jatuh ditimpa tangga, apabila seorang lagi pemain pertahanan, Ricardo Carvalho turut menerima kad merah selepas melakukan asakan keras terhadap pemain lawan. Kedua-duanya berdepan hukuman digantung perlawanan selepas ini.
Dengan masalah kecederaan membelenggu John Terry, Didier Drogba dan Florent Malouda dan terbaru, pemangku kapten, Frank Lampard - kemampuan Chelsea semakin terbatas.
Malah, tonggak tengah, Claude Makelele juga terpaksa diketepikan untuk beberapa minggu kerana menjalani pembedahan telinga.
Penjaga gol kedua, Carlo Cudicini juga akan direhatkan kerana masih menjalani rawatan.
‘‘Saat ini memang sukar. Sememangnya dari awal situasi di sini sukar dengan ramai pemain yang terlibat dengan kecederaan,’’ kata Grant.
– Reuters
0 Comments:
Post a Comment