LONDON – Tonggak tengah Chelsea, Frank Lampard diketepikan daripada beraksi untuk beberapa minggu selepas menjalani imbasan yang menunjukkan otot pemain itu koyak.
Lampard, 29, mengalami kecederaan tersebut pada separuh pertama ketika pasukannya bertemu Aston Villa yang menyaksikan The Blues mencatat keputusan seri 4-4 pada Rabu lalu.
Pemain tengah England itu dijangka boleh beraksi pada akhir Januari depan sekali gus kehilangannya itu pasti memberi tamparan hebat kepada pengurus Chelsea, Avram Grant yang sudah pun kehilangan pemain utamanya, John Terry, Didier Drogba dan Florent Malouda.
‘‘Ujian imbasan menunjukkan otot paha kanan Frank Lampard terkoyak.
‘‘Kecederaan itu bagaimanapun tidak berlaku di bahagian kaki yang sama ketika pemain itu mengalami kecederaan pada awal musim ini.
‘‘Lampard akan menjalani rawatan pemulihan dengan segera dan kami berharap dapat melihat dia beraksi semula dalam beberapa minggu lagi,’’ menurut kenyataan Chelsea, semalam.
Selain Drogba, Michael Essien, John Obi Mikel dan Salomon Kalou merupakan senarai nama yang tidak akan bermain selama sebulan kerana beraksi pada Piala Kebangsaan Afrika, tahun depan.
Grant turut membayangkan untuk mendapatkan pemain-pemain baru di pasaran sekarang bagi mengembalikan keseimbangan dalam usaha untuk memburu gelaran Liga Perdana England.
‘‘Saya berharap untuk menggunakan pasaran pemain sekarang kerana faktor penggantungan serta kecederaan dan Piala Afrika meletakkan Chelsea dalam tekanan,’’ kata Grant.
sumber Utusan Malaysia 29/12/2007
0 Comments:
Post a Comment