BIRMINGHAM, England – Penyerang Perancis, Nicolas Anelka yakin dia mampu memberikan yang terbaik untuk Chelsea selepas berpindah ke kelab Liga Perdana Inggreris itu dengan yuran perpindahan 15 juta pound (RM96.38 juta), 10 tahun selepas tiba di England untuk mewakili Arsenal buat kali pertama.
Pemain berusia 28 tahun itu dijangka diturunkan dalam kesebelasan utama oleh pengurus Chelsea, Avram Grant menentang Birmingham City di St. Andrews, hari ini selepas tampil sebagai pemain gantian hujung minggu lalu di Stamford Bridge ketika menang dengan Tottenham 2-0.
Grant terdesak untuk menurunkan Anelka sebagai kesebelasan utama ekoran ketiadaan Didier Drogba kerana mewakili Ivory Coast pada Piala Negara-Negara Afrika dan Anelka berasa dia lebih bersedia bagi sebarang peringkat dalam kariernya untuk mewajarkan yuran perpindahan terbarunya yang besar itu.
“Saya tahu segalanya tentang sebuah kelab besar. Sebelum ini, ia agak sukar kerana saya muda tetapi kini kerana banyak perkara berlaku dalam hidup saya, saya mampu menanganinya.
“Saya tidak pernah putus asa. Saya cuba yang terbaik ketika saya di atas padang. Saya melakukannya untuk Manchester City dan Bolton, begitu juga Liverpool.
“Ia sukar bagi saya ketika itu dan ada tekanan, tetapi saya tidak putus asa. Kini saya di sini dan saya mahu membuktikan kemampuan saya,” katanya.
Selain mahu membuktikan pengalaman menangani tekanan, Anelka turut yakin dia telah mengikis tanda Le Sulk yang mengekorinya sejak dari Arsenal menerusi Liverpool dan Real Madrid.
“Saya tidak pernah berkata atau melakukan sesuatu yang salah dalam karier saya jadi apa yang dikatakan orang ramai itu salah. Mereka kata begitu kerana mereka tidak mengenali saya dan jika anda tanya seorang pemain yang bersama saya di Arsenal, Liverpool, Manchester City dan Bolton, mereka tidak katakan sesuatu yang salah tentang saya. Tiada yang berubah,” katanya.
– AFP
0 Comments:
Post a Comment