LONDON – Kelab bola sepak Liga Perdana England, Bolton, semalam menolak tawaran Chelsea untuk membeli penyerang Perancis, Nicolas Anelka.
Keputusan Bolton itu memberi tamparan buat skuad The Blues yang sedang mencari pengganti bagi mengisi kekosongan jentera serangan ekoran ketiadaan dua penyerang utama, Didier Drogba dan Salomon Kalou yang akan beraksi pada kejohanan Negara-Negara Afrika.
Anelka, 28, yang menandatangani kontrak empat tahun bersama Bolton pada Ogos lalu telah dikaitkan dengan beberapa pasukan lain ekoran prestasi hambar yang dipamer Bolton pada awal musim ini.
Selepas menolak tawaran Chelsea, yang tidak didedahkan jumlahnya, Bolton tetap akan menjual penyerang Perancis itu bagi menambah sumber kewangan untuk membeli pemain baru.
Anelka, yang pernah beraksi bersama kelab besar seperti Paris Saint-Germain, Arsenal, Real Madrid, Liverpool, Manchester City dan Fenerbahce dibeli oleh Bolton dengan bayaran 8 juta pound (RM26.21 juta) pada Ogos, 2006.
Penyerang kontroversi Perancis itu telah mempamerkan aksi cemerlang sepanjang musim ini dengan menjaringkan 11 gol setakat ini.
Tanpa kehadiran penyerang baru yang baik, Chelsea bakal mengharungi saingan liga dengan serba kekurangan tanpa Drogba dan Kalou yang akan beraksi pada Piala Negara-Negara Afrika dari 20 Januari hingga 10 Februari akan datang.
Dua lagi penyerang mereka, bekas Pemain Terbaik Eropah, Andriy Shevchenko dari Ukraine dan penyerang Peru, Claudio Pizarro mempamer aksi kurang meyakinkan ketika ini.
Perkembangan terbaru itu pasti menyukarkan keadaan Chelsea yang bakal mengharungi jadual padat Liga Perdana, selain akan berdepan saingan Piala Liga.
Chelsea, yang ketika ini menduduki tangga ketiga liga England. Meski pun butiran lanjut mengenai tawaran Chelsea tidak didedahkan, namun Bolton dilaporkan telah menetapkan 17 juta pound (RM55.7 juta) sebagai harga yang perlu dibayar untuk Anelka.
– AP
0 Comments:
Post a Comment