LONDON – Impian penggendali Chelsea, Luiz Felipe Scolari (gambar) untuk mendapatkan khidmat pemain baru pada musim perpindahan Januari ini mungkin tidak akan menjadi kenyataan.
Scolari mahu menguatkan jentera pasukannya dengan membeli penyerang terbaik selepas gagal mendapatkan bintang muda Brazil, Robinho Ogos lalu.
Bagaimanapun pemilik kelab, Roman Abramovich mendesak supaya Chelsea berhenti berbelanja selepas dia mengalami kerugian dalam pasaran saham Rusia.
Ketua Eksekutif Chelsea, Peter Kenyon mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan: “Tidak mungkin kami dapat berbelanja Januari ini.
Scolari
“Pertamanya, kami perlu menjual seseorang untuk mengimbangi kewangan. Pada peringkat ini, kami tidak bercadang untuk membeli pemain baru.
“Felipe sedang merancang kerana dia mempunyai skuad yang cemerlang dan dia melakukan tugas dengan baik.
“Kami telah bersetuju mengenai jumlah pemain iaitu 24 pemain dan Januari adalah masa yang tidak baik untuk membeli pemain. Jadi tiada sebarang perubahan besar dalam agenda kami,” kata Kenyon.
Kenyon turut mendapat arahan yang tegas daripada Abramovich untuk mengurangkan perbelanjaan pada masa akan datang.
“Kami memberi perhatian yang lebih serius pada perbelanjaan kami dan mengkaji semula beberapa aspek untuk meletakkan perniagaan ini di landasan yang betul,” tambah Kenyon.
Keputusan itu pasti menyebabkan Scolari mengalami masalah khususnya di bahagian serangan.
Ini kerana hanya Nicolas Anelka sahaja yang cergas manakala Didier Drogba masih berkerja keras untuk kembali pada prestasi terbaik selepas menjalani pembedahan lutut pada musim panas lalu. – Agensi
0 Comments:
Post a Comment