BERLIN - Pemain tengah Chelsea, Michael Ballack mengakui dia tidak akan terburu-buru menandatangani satu kontrak baru bersama Chelsea.
Begitupun Ballack berkata, dia masih berminat untuk terus berada di Stamford Bridge.
Skuad The Blues telah kembali menjalani latihan tetapi Ballack yang masih mempunyai baki kontrak selama setahun di Stamford Bridge dilaporkan masih bercuti di Sardinia.
Ballack diberi cuti rehat selepas membantu skuad kebangsaan Jerman mara ke perlawanan akhir Kejuaraan Eropah (Euro) 2008 dua minggu lalu.
"Saya masih mempunyai kontrak sehingga tahun 2009 dan terdapat satu pilihan untuk menyambungnya, jadi tidak perlu terburu-buru," kata Ballack kepada akhbar Bild.
"Kami hanya tunggu dan lihat apa yang akan berlaku."
Meskipun gagal memenangi sebarang gelaran musim lalu, Ballack tetap yakin dengan mewakili Chelsea akan memberinya peluang mencipta lebih banyak kejayaan.
"Saya bermain dalam liga terbaik di dunia (Liga Perdana England) bersama salah sebuah pasukan terbaik di dunia.
"Sebab itu buat masa ini tidak ada alasan untuk saya kembali dalam saingan Liga Jerman," kata Ballack. - AFP
0 Comments:
Post a Comment