LONDON - Penjaga gol Chelsea, Petr Cech percaya jurulatih baru The Blues, Luiz Felipe Scolari mampu menghadirkan kejayaan yang sama seperti mana yang dilakukan Jose Mourinho.
Scolari memulakan tugasan pertamanya minggu ini dengan sasaran utamanya adalah merampas kembali gelaran liga daripada penguasaan Manchester United.
"Scolari ibarat juara Piala Dunia dan dia mampu melakar kejayaan di mana-mana sahaja. Jadi harapan kami agar dia boleh membawa kejayaan kepada Chelsea," jelas Cech yang juga penjaga gol antarabangsa Republik Czech.
"Apabila kamu melihat kualiti yang dimiliki kelab ini maka kehadiran pengurus dan taktikalnya akan memberi ramuan terbaik untuk kami terus berjaya.
"Era baru kelab ini juga baru bermula dan harap-harap ia akan sama seperti mana ketika Mourinho membimbing Chelsea pada musim 2004."
Sebelum ini pemilik Chelsea, Roman Abramovich memilih Scolari untuk mengemudi kelab The Blues dengan harapan dapat mengatasi pencapaian Mourinho.
Mourinho muncul pengurus paling berjaya di Stamford Bridge apabila membantu kelab itu menjuarai gelaran Liga perdana England untuk dua tahun berturut-turut selain dua gelaran Piala Liga dan Piala FA.
Satu-satunya gelaran yang gagal dimenangi Mourinho ialah Liga Juara-Juara.
"Kamu boleh lihat Scolari dengan karisma dan personaliti yang sangat-sangat diperlukan kelab sebesar Chelsea. Saya juga tidak fikir faktor bahasa akan menjejaskan misi kami," tambah Cech. - Agensi
0 Comments:
Post a Comment