LONDON - Chelsea terus menolak tawaran terbaru 7.95 juta pound (RM62.5 juta) daripada Inter Milan ke atas perancangnya, Frank Lampard.
Kelab gergasi England itu berkeras bahawa mereka tidak akan berganjak dengan keputusan untuk tidak melepaskan bintang England itu sejak Inter membuat tawaran rasmi kali pertama kepada mereka.
Chelsea telah menjelaskan kepada juara Serie A itu bahawa mereka tidak akan memulakan sebarang perbincangan mengenai perpindahan tersebut.
Tawaran terbaru Inter malam kelmarin, tiba sejam selepas pengurus baru The Blues, Luiz Felipe Scolari menegaskan bahawa dua tonggaknya, Lampard dan pemain yang menjadi buruan AC Milan, Didier Drogba masih lagi diperlukan di Stamford Bridge.
Meskipun ejen Lampard mengeluarkan kenyataan bahawa masa depan kliennya itu masih belum dipastikan, pemain itu sendiri memberitahu Scolari bahawa dia gembira untuk kekal di Stamford Bridge bagi beberapa tahun lagi.
Pengurus baru Inter, Jose Mourinho kini terdesak untuk mendapatkan Lampard, namun Chelsea tetap mahu menghalang perancang England itu daripada berpindah.
Scolari diumumkan secara rasmi sebagai jurulatih Chelsea kelmarin dan terus memberitahu Mourinho dan kelab Eropah lain bahawa tonggak utamanya itu akan kekal di Stamford Bridge.
Sebelum itu, Chelsea terlebih dahulu mengumumkan bahawa mereka telah menolak permintaan ke atas Lampard oleh Inter Milan dan mereka kini akan menolak tawaran rasmi dari kelab Itali itu. - Agensi
0 Comments:
Post a Comment