LONDON: Hasrat Andrei Arshavin untuk beraksi di Chelsea atau Arsenal mungkin tidak kesampaian apabila kelabnya meletakkan harga setinggi £24 juta (RM156.72 juta).
Penyerang berusia 27 tahun itu adalah antara bintang saingan Euro 2008 bulan lalu ketika membantu Russia layak ke separuh akhir.
Barcelona sudah membuat dua bidaan bernilai kira-kira £12 juta (RM78.53 juta) tetapi ditolak Zenit St Petersburg.
Kelab gergasi Sepanyol itu mendakwa mereka tidak akan terus membida pemain berkenaan selepas tawaran mereka ditolak.
Keputusan itu membuatkan Chelsea dan Arsenal menjadi kelab yang paling hampir untuk mendapatkan bintang Russia itu.
Ejen Arshavin, Dennis Lachter menjangkakan penyerang itu akan bermain di Liga Perdana Inggeris musim depan.
Tetapi dia mengakui kelab yang berminat perlu berbelanja besar untuk mendapatkan pemain itu.
Lachter berkata: “Kemungkinan besar, dia akan ke England. Ia bakal menjadi yuran perpindahan yang besar.
“Zenit pastinya tidak mahu menerima sebarang tawaran di bawah harga £24 juta (RM156.72 juta).
“Kelab itu dimiliki Gazprom iaitu salah satu syarikat minyak terbesar dunia dan mereka tidak akan jual Andrei dengan harga murah.”
“Andrei mahu beraksi dalam Liga Perdana Inggeris tetapi dia tidak mahu bermain bersama kelab seperti Newcastle, Middlesbrough dan Aston Villa. Hanya empat kelab yang diminati dan semua kelab terbabit bersaing di Liga Juara-Juara.” - Agensi
0 Comments:
Post a Comment