KUALA LUMPUR – Pengurus Chelsea, Luiz Felipe Scolari menganggap pertemuan dengan Malaysia malam esok hanyalah perlawanan berbentuk latihan untuk pemain-pemainnya.
Sebaliknya perlawanan pada Piala Keretapi di Rusia selepas ini sebagai penentu dalam memilih kesebelasan utama pasukannya untuk memulakan musim baru Liga Perdana England bulan depan.
“Tiga perlawanan pertama di Asia termasuk menentang Malaysia lebih kepada perlawanan untuk latihan sahaja.
“Tumpuan saya ialah lebih kepada perlawanan di Rusia kerana ia ujian terbaik untuk mengenalpasti pemain menentang Portsmouth pada 17 Ogos nanti.
“Setakat ini saya sudah 75 peratus mendapat bayangan barisan terbaik yang akan dibentuk untuk sepanjang musim baru,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebaik tiba di Kuala Lumpur dari Macau, semalam.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan tuah datang ke Malaysia buat kali kedua mampu memberinya kejuaraan Liga Perdana England pada musim baru ini.
“Pada 2002, saya datang buat kali pertama ke Malaysia bersama pasukan Brazil sebelum ke Piala Dunia di Korea Selatan. Kami muncul juara ketika itu.
“Jadi kedatangan kali kedua ini saya harap dapat menghadiahkan saya kejuaraan Liga Perdana England untuk Chelsea pula,” jelasnya.
Pada sidang akhbar itu, Scolari turut menunjukkan kebolehannya memberi dan menjawab salam (assalamualaikum/waalaikumsalam) yang dipelajarinya ketika datang ke Malaysia pada 2002 lalu.
Telatahnya itu mendapat tepukan gemuruh pihak media dan hadirin yang datang pada sidang akhbar tersebut.
1 Comment:
Salam Sejahtera,
Harap player Malaysia dapat
belajar sesuatu dan kongsikan
pengalaman semalam dengan rakan mereka di pasukan negeri atau kelab.
Keputusan penuh:
Chelsea 2-0 Malaysia.
Post a Comment