GUANGZHOU, China - Kapten Chelsea, John Terry mengakui kegagalan menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan akhir Liga Juara- Juara menentang Manchester United musim lalu masih menghantuinya.
Terry berkata, insiden itu sentiasa bermain difikirannya setiap kali dia bangun daripada tidur.
"Setiap pagi, saya bangun dan insiden itu adalah perkara pertama yang bermain dalam fikiran saya. Saya masih lagi memikirkannya," katanya.
"Saya masih lagi berasa kecewa dan saya sukar untuk menghadapi situasi seperti ini."
Pada perlawanan yang berlangsung di Moscow Mei lalu, Terry tergelincir ketika mengambil sepakan penalti terakhir Chelsea, sekali gus menyaksikan The Blues gagal memenangi gelaran Liga Juara-Juara.
Namun Terry berkata, jaringannya ketika membantu England menewaskan Amerika Syarikat 2-0 Mei lalu memberi sedikit ketenangan kepadanya.
"Menjaringkan satu gol untuk England selepas kegagalan saya itu sedikit sebanyak membantu saya melupakan insiden tersebut.
"Tetapi saya berharap, kami akan mencapai lebih banyak kejayaan di bawah bimbingan jurulatih baru (Luiz Felipe Scolari), sekali gus melupakan terus memori hitam itu," katanya.
Dalam pada itu, pemain tengah, Michael Essien mahu membuktikan bahawa dia masih merupakan tonggak penting Chelsea musim depan.
Perancang The Blues itu sanggup berjuang merebut posisi tengah Chelsea yang turut diperkuat Frank Lamprd, Michael Ballack selain muka baru, Deco.
"Apabila persaingan semakin sengit, ia akan menghasilkan pemain terbaik dalam setiap posisi," kata Essien. - Agensi
0 Comments:
Post a Comment